Mini WaterFall Kemensah

Mini WaterFall Kemensah

Sabtu, 4 Februari 2012

Selamat menyambut Maulidur Rasul


Selamat menyambut Maulidur rasul pada 12 Rabiulawal 1433 bersamaan 5 Feb 2012.
Maulidur Rasul adalah hari bersejarah keputeraan Nabi Muhammad S.A.W. Hari itu jatuh pada hari ke-12 bulan Rabiul Awal sempena kelahiran Nabi yang jatuh pada pada Isnin (Dari hadith riwayat Muslim, 8/25), 12 Rabiul Awal Tahun Gajah bersamaan dengan 23 April 571.

Penglibatan Rasulullah SAW dan para sahabat baginda dalam arena politik bertujuan membentuk sebuah negara Islam yang berteraskan wahyu Ilahi. Oleh itu, setiap pergerakan dan aktiviti dalam arena politik adalah sihat dan tidak menjejaskan kepentingan umat dan agama Islam.
Dalam keadaan umat Islam masih memerlukan pembangunan spiritual dan material, maka perpaduan sesama umat amat diperlukan. Perbezaan ideologi politik sesama umat Islam tidak sepatutnya sampai ke tahap permusuhan sehingga membelakangkan kepentingan agama dan umat.

Pergolakan politik sesama umat Islam masa kini sudah sampai ke tahap yang boleh memusnahkan kewibawaan agama dan umat Islam. Perjuangan politik umat Islam kini lebih menjurus kepada perjuangan berbentuk sekularisme atau ideologi di mana kemenangan dalam pilihan raya merupakan matlamat perjuangan sehingga mengetepikan kewibawaan agama dan umat.
Slogan keagamaan dan ayat-ayat suci al-Quran dijadikan sebagai senjata untuk mempengaruhi umat Islam. Pemimpin politik bukan Melayu yang tidak mempercayai Allah Yang Maha Kuasa mampu menarik perhatian umat Islam menyokong perjuangan mereka dengan melaungkan slogan Islam dan membaca ayat-ayat suci al-Quran ketika berkempen. Jika propaganda begini boleh mempengaruhi minda umat Islam, maka jelas ia menunjukkan bahawa umat Islam terlalu lemah dalam hal berkaitan dengan perjuangan politik berlandaskan Islam.
Perbezaan politik sesama umat Islam sepatutnya dilihat dalam perspektif pembinaan umat dan pengukuhan agama yang mana parti memerintah sentiasa diawasi oleh parti pembangkang supaya hala tuju kepimpinan dan pentadbiran dalam negara tidak terkeluar daripada landasan kepimpinan Islam.

Al-Quran dan Hadis secara jelas menasihati umat Islam dalam hal ehwal politik supaya mereka tidak menggadaikan maruah agama dan umat dalam arena politik. Sejauh mana para pemimpin politik Islam mengambil iktibar daripada al-Quran dan Hadis, ia menjadi persoalan penting yang dibahaskan oleh masyarakat Islam masa kini. Jika hak-hak orang Islam sering dibangkitkan oleh parti politik tertentu, maka selama manakah para pemimpin parti umat Islam boleh berkompromi dengan mereka?.

Hakikat yang wujud masa kini hasil berkompromi dengan parti politik yang tidak menghormati agama Islam dan hak-hak orang Islam dapat dilihat oleh masyarakat Islam secara jelas. Persoalannya, sejauh manakah umat Islam masih lagi terlena dengan laungan ayat-ayat suci al-Quran daripada mulut orang yang tidak pernah mempercayai Allah Yang Maha Esa dan sentiasa menunjukkan sikap negatif dan tanpa belas kasihan kepada umat Islam.

Umat Islam dididik oleh Allah dan Rasul erti persaudaraan sesama umat. Kemenangan dalam parti politik bukan merupakan satu kebanggaan yang hakiki jika hak umat Islam dan kewibawaan agama terjejas. Batas-batas dalam politik perlu dijadikan panduan supaya umat Islam tidak tergelincir ke dalam kancah yang boleh memesongkan umat Islam dari haluan dan arah yang diredai Allah.
Selain itu, umat Islam perlu membuka minda dan melihat realiti yang wujud dalam negara masa kini secara rasional supaya mereka tidak mengulangi kesilapan memilih pemimpin negara kerana kesilapan begini boleh memusnahkan hak dan kewibawaan agama.

Justeru, setiap ahli politik umat Islam perlu bermuhasabah diri secara tawaduk melihat kelemahan diri daripada perspektif akhlak Islam supaya hati yang keras dan marah dapat dilunturkan dengan air mata penyesalan.

Apabila umat Islam berada dalam keadaan terhimpit, sepatutnya hati yang keras bertukar menjadi lembut kerana kekerasan hati akibat daripada pelbagai anggapan boleh menyebabkan umat Islam berada dalam suasana menang menjadi arang dan kalah menjadi abu.

Apakah ertinya kemenangan jika hak dan kewibawaan agama tergadai? Kemenangan dalam parti politik bukan merupakan satu kemenangan yang abadi.

Kedudukan sesuatu parti politik bergantung kepada sokongan masyarakat. Apabila perut umat Islam kosong dan hak mereka dirampas maka ayat-ayat al-Quran yang dilaungkan tidak akan memberi sebarang kesan kepada hati nurani mereka.

Oleh itu, fahamilah peranan dan tugas kepimpinan dalam Islam supaya ayat-ayat al-Quran tidak dijadikan alat dalam perjuangan politik dan tidak tertipu dengan golongan yang tidak mempercayai Allah Yang Maha Esa tetapi membaca ayat-ayat al-Quran ketika berkempen dalam pilihan raya.
Buka minda dan lihat dilema politik umat Islam masa kini supaya umat Islam tidak terjerat dalam kancah pergolakan politik sesama umat Islam. Ramadan adalah bulan membuka minda dan bermuhasabah diri. Jadikanlah bulan ini sebagai penghubung persaudaraan sesama umat Islam.

-Rencana diatas dipetik daripada Utusan Malaysia Online pada 13 Ogos 2010. Ia ditulis oleh Dr. Saodah Abd Rahman, pensyarah di Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan